Prof. Dr. Rujhan bin Mustafa telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia berkuatkuasa 1 Januari 2011.
Prof. Dr. Morshidi Sirat, Pengarah Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara USM telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pengurusan IPTA) Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi mulai 16 Februari 2011.
Prof. Susie See Ching Mey, 55, dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat) USM bermula 1 Februari 2011 hingga 31 Januari 2014 menggantikan Prof. Lim Koon Ong yang telah tamat tempoh perkhidmatannya baru-baru ini.
Selaras dengan Perlembagaan baru USM, Jawatankuasa Eksekutif Naib Canselor (JKENC) telah dimansuhkan dan digantikan dengan Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) sejak September 2010 yang telah dipersetujui oleh Lembaga Pengarah Universiti. JKPU akan meneliti dan membuat keputusan-keputusan penting berkaitan dasar utama sebelum dibawa ke jawatankuasa-jawatankuasa lain terutamanya Jawatankuasa Tetap Kewangan dan Lembaga Pengarah Universiti. Ia akan diadakan paling kurang sebulan sekali, namun dalam keadaan biasa setiap dua minggu sekali yang dipengerusikan oleh Naib Canselor atau mana-mana Timbalan Naib Canselor yang memangku tugas Naib Canselor semasa Naib Canselor mempunyai urusan rasmi lain di luar Pulau Pinang. JKPU juga akan memantau perjalanan dan pencapaian APEX secara berterusan.
JKPU dalam empat mesyuaratnya sebelum ini telah memutuskan beberapa perkara berikut:
Penubuhan Pejabat Komunikasi Strategik dengan Pengarahnya Prof. Badaruddin Mohamed yang juga Dekan Penyelidikan Pelantar Transformasi Sosial bertanggungjawab untuk merancang, menyusun dan melaksanakan strategi komunikasi serta melaksanakan usaha untuk mengetengahkan pencapaian kecemerlangan USM di bawah APEX di samping pemantauan NADI sebagai sumber rujukan utama pencapaian USM di bawah APEX. Pelantikannya bermula 1 Februari 2011.
Perubahan struktur tanggungjawab Encik Mohamad Omar Bidin, Pengarah Dewan Budaya terus di bawah Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar) mulai 1 Disember 2010 untuk meneruskan apa jua aktiviti dan peranannya dalam konteks pembangunan akademik dan pada masa yang sama melakukan usaha-usaha perkembangan, pemajuan dan pembangunan seni dan budaya dalam kalangan pelajar dan juga warga universiti seluruhnya serta mengambil kira keperluan dari perspektif yang lebih luas terutamanya untuk memperkasakan aktiviti seni dan budaya dalam kalangan mahasiswa.
Pelantikan En. Mohamad Mohd. Hanif sebagai Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi selaras dengan usaha menaikkan taraf Unit Sukan, juga bertanggungjawab terus di bawah Bahagian hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar.
Memperkasakan Bahagian Pembangunan Lestari dan Korporat sebagai Bahagian Pengurusan Korporat dan iPMO di bawah Prof. Muhamad Jantan yang bertanggunggjawab untuk memantau kemajuan dan pencapaian Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX). Bahagian Pembangunan Korporat dan iPMO akan menyelaras dan memastikan USM benar-benar melakukan transformasi APEX dengan menyediakan laporan setiap dua minggu sekali untuk perbincangan, perhatian dan ketetapan oleh JKPU sebelum dilaporkan kepada Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti (LPU).
Sekretariat Kampus Sejahtera dan Pusat Kepakaran Serantau kini diletakkan di bawah Pusat Kajian Kelestarian Global – bertanggungjawab terus kepada Pengarah Pusat Kajian Kelestarian Global manakala Sektetariat Warga Sejahtera kini diletakkan di bawah Pusat Sejahtera – bertanggungjawab terus di bawah Pengarah Pusat Sejahtera.
Pelantikan Dr. Rumaizi Shaari sebagai Pengarah Pusat Penyelidikan dan Perkhidmatan Haiwan mulai 1 Januari 2011 hingga 31 Disember 2012 manakala Dr. Nor Aini Saidin dilantik sebagai Timbalan Pengarah, Pusat Penyelidikan dan Perkhidmatan Haiwan mulai 1 Februari 2011 hingga 31 Disember 2012.
(MOHAMAD ABDULLAH)
Pejabat Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia
T: 04.653 2193/3105
F: 04.658 8444
Universiti Sains Malaysia
T: 04.653 2193/3105
F: 04.658 8444
No comments:
Post a Comment