I am reproducing an article from the latest publication of Berita Kampus published and distributed today 27 September 2010 by Yap Jia Hee, a final year Journalism student.
This write-up is very well done (researched & interview included) and I hope more reports and article of this quality be publish in future issues of Berita Kampus. The title is as mentioned above (sans question mark) and is quite intriguing, to say the least.
Kebebasan media di Malaysia sempit
Oleh Yap Jia Hee
|
Pic courtesy of theStar online |
JAMALUDDIN Ibrahim, pengacara rancangan “Say Hi to Malaysia” di stesen radio 98.8 telah dipecat jawatan secara rasmi pada 8 September 2010. Pengacara Melayu yang terkenal dengan kefasihan bahasa Cinanya telah mendapat surat amaran daripada Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (MCMC) dengan merujuk kepada rancangannya yang berlangsung pada 13 Ogos 2010 yang membicarakan isu hubungan kaum di negara ini.
Menurut Jamaluddin, kesalahan yang disabit kepadanya oleh MCMC ialah mengancam keselamatan negara dan merosakkan hubungan kaum. Stesen radio 98.8 kini berdepan dengan tekanan dan risiko untuk diambil tindakan di bawah Akta Multimedia dan Komunikasi 1998.
Ketua Pegawai Eksekutif stesen radio 98.8 Wong Lai Ngo dan Pengarah Program tan Chia Yong telah digantungkan jawatan. Kelangsungan ‘Say Hi to Malaysia’ menjadi tanda soal apabila rancangan perbincangan hal ehwal semasa ini telah digantikan dengan penyiaran muzik dan laporan buletin. Stesen radio 98.8 merupakan salah satu saluran radio dalam syarikat Star Rfm Sdn Bhd yang dimiliki oleh parti Persatuan Cina Malaysia (MCA).
Mengikut laporan editor Merdeka Review Lim Hong Siang, rancangan ‘Say Hi to Malaysia’ merupakan rancangan yang paling popular untuk stesen radio 98.8 yang mencatat 600,000 hingga 700,000 pendengar kerana menyediakan pentas untuk pandangan yang lebih kritikal. Walaupun media ini dimiliki oleh MCA, pemimpin pembangkang turut diberi ruang dalam rancangan ini. Namun, dari pandangan pihak berkuasa, rancangan sebegini semestinya tidak seimbang dan bias terhadap kerajaan.
Sementara itu, empat akhbar Cina utama iaitu Sin Chew Daily, Guang Ming, Nanyang dan China Press serta akhbar The Star dan New Straits Times hanya melaporkan kes Jamaluddin ini dalam ruang kecil di halaman dalaman akhbar. Utusan Melayu dan Berita Harian pula langsung tidak melaporkan kes Jamaluddin.
Menurut Lim, empat akhbar Cina utama tersebut malah tidak melaporkan ‘ceramah kebebasan media’ oleh Jamaluddin dan beberapa penganalisa politik yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor pada 26 Ogos 2010 dan Kolej Han Chiang di Pulau Pinang pada 27 Ogos 2010.
“Tindakan akhbar tersebut yang cuba menutup berita Jamaluddin itu telah mencabul hak tahu rakyat,” kata Lim dalam ceramah kebebasan media di Kolej Han Chiang. Walau bagaimanapun, akhbar Oriental Daily dan Kwong Wah Yit Poh telah melaporkan berita Jamaluddin di halaman hadapan dan ketiga dalam akhbar.
Pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM),
Prof. Madya Dr Mustafa K. Anuar berkata kejadian stesen radio 98.8 yang berlaku baru-baru ini merupakan satu contoh pencabulan kebebasan media yang ketara dan ini telah menunjukkan kebebasan media kini semakin sempit dan berkurangan dalam negara.
Menurutnya lagi, kebebasan media adalah penting dalam sesebuah negara terutamanya negara Malaysia yang dikatakan mengamalkan sistem demokrasi kerana ia memberi ruang kepada warganegara untuk menyuara pandangan serta membolehkan rakyat memantau prestasi pemimpin politik yang sepatutnya mewakili kepentingan rakyat jelata, bukan kepentingan peribadi mereka.
“Namun, kebebasan yang dimaksudkan bukanlah kebebasan seratus peratus tetapi kebebasan yang bersaing dengan tanggungjawab,” katanya.
Maka, persoalan yang ingin dibincangkan ialah sejauh manakah tahap kebebasan media di Malaysia? Bagaimanakah pula kita melihat pengawalan dan tekanan ke atas media oleh pihak pemimpin negara telah mencabul kebebasan media?
Ekoran daripada kes pencabulan kebebasan media ini, kempen ‘1 Muted Malaysia’ telah diadakan di Pusat Suria KLCC pada 22 Ogos dan Queensbay Mall, Pulau Pinang pada 31 Ogos 2010.
Dalam kempen tersebut, berpuluh orang rakyat secara sukarelanya memakai topeng muka dan riben kuning serta membaca akhbar arus perdana secara terbalik sebagai tanda protes terhadap kekangan kebebasan media yang berlaku sejak kebelakangan ini.
Kempen ‘
1 Muted Malaysia’ bertujuan menunjukkan kebolehpercayaan media arus perdana terutamanya akhbar milik kerajaan tercabar.
Namun, mengikut laporan Merdeka Review pada 3 September 2010, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata media arus perdana boleh dipercayai oleh rakyat kerana pelaporannya adalah berdasarkan maklumat rasmi yang benar berbanding dengan media alternatif yang tidak mengikut kebenaran sepenuhnya.
Menurut Prof. Madya Dr Mustafa K. Anuar, kredibiliti adalah penting bagi mana-mana akhbar supaya pembaca tidak mengelak dari membacanya dan mengalih tumpuan kearah media alternatif.
Beliau berkata kredibiliti akan diragui oleh orang ramai jika akhbar berkenaan tidak memberi ruang kepada pihak yang tercabar memberi responnya dan ini menunjukkan pemberitaan yang kurang adil dan tidak seimbang.
“Kredibiliti akhbar ini tidak dapat dicapai dengan nasihat atau pujukan dari pemimpin politik negara semata-mata bahawa akhbar arus perdana boleh dipercayai rakyat,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM,
Dr Soon Chuan Yean berkata semua berita daripada media arus perdana dan alternatif mempunyai pandangan tersendiri dan tahap kebolehpercayaan ini terpulang kepada persepsi pembaca.
“Oleh sebab inilah, kebebasan media adalah penting kerana kebebasan media bermaksud kehadiran satu ruang yang bebas untuk membenarkan satu isu dan informasi diperdebatkan,” katanya.
Soon menambah sesetengah rakyat Malaysia kini bersikap dingin dan protes terhadap media arus perdana kerana medium tersebut tidak lagi menarik.
“Oleh sebab itu, kewujudan media alternatif seperti internet, youtube, filem independen, blog dan facebook telah disambut baik oleh rakyat.
“Pencabulan hak tahu rakyat sebenarnya tidak dapat dilakukan dengan sepenuhnya kerana rakyat akan mendapat informasi daripada media alternatif untuk membuat perbandingan selain membaca akhbar arus perdana,” katanya.
Dalam membincangkan kebebasan media, kita juga harus melihat kepada faktor pemilikan sesebuah media oleh parti-parti politik dalam negara.
UMNO merupakan parti terawal mengawal media. Pada tahun 1961, UMNO telah berjaya mengawal akhbar yang paling berpengaruh dalam kalangan masyarakat Melayu iaitu Utusan Malaysia dan turut membeli New Straits Times pada tahun 1972. MCA pula melalui Huaren Holdings Sdn Bhd telah membeli Star Publications Bhd pada tahun 1979 dan Nanyang Press Holdings Bhd pada 28 Mei 2001.
Menurut ketua pengarang
Merdeka Review Cheng Teck Peng, pembelian syarikat media dan akhbar oleh parti politik berkait rapat dengan kebaikan dan manfaat parti pemerintah, malah ia merupakan satu cara pihak pemerintah mengawal kebebasan bersuara media.
Sehubungan itu, Dr Soon berkata parti politik tidak harus memiliki akhbar kerana akhbar harus dijamin kemakmuran dan kejujuran informasi tanpa campur tangan dari pihak luar.
“Namun, jika parti politik ingin memberi pandangan mereka kepada rakyat, mereka boleh mengadakan surat khabar sendiri kerana mereka juga mempunyai kebebasan untuk bersuara,” katanya
Sementara itu, kajian oleh Freedom House dari Amerika Syarikat sempena Hari Kebebasan Media Antarabangsa pada 3 Mei 2010 menunjukkan Malaysia berada di kedudukan ke-141 dari 196 buah negara. Hal ini menunjukkan Malaysia masih tidak mempunyai kebebasan media.
Mengikut laporan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) pada 17 Jun 2010, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim menyatakan bahawa media massa dalam negara adalah bebas untuk menyiarkan pendapat dan kritikan kerana negara kini mempunyai dua juta blogger, 76 akhbar harian termasuk milik pembangkang, 151 saluran televisyen satelit, sembilan saluran televisyen tidak berbayar dan 53 saluran radio.
“Perkembangan ini jelas menunjukkan media massa dalam negara tidak terhad seperti yang didakwa Freedom House dan ia hanyalah satu “laporan kerusi selesa”, kata Rais.
Namun, secara realitinya kebebesan media di Malaysia tidak boleh dipisahkan dengan penggubalan undang-undang seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984, Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, Akta Hasutan 1948 dan Akta Multimedia dan Komunikasi 1998.
Menurut Mustafa, undang-undang tersebut boleh menjejas profesionalisme dan etika wartawan serta perkembangan industri akhbar arus perdana pada tahap-tahap tertentu.
“Undang-undang tersebut telah membangunkan satu gejala yang tidak sihat iaitu penapisan kendiri atau self-censorship yang keterlaluan dalam kalangan editor dan wartawan sehingga menyebabkan dalam kebanyakan hal hanya berita yang separuh benar dapat dilaporkan,” katanya.
Di samping itu, Soon turut menambah, akta-akta tersebut harus dibawa ke Parlimen untuk didebat dan dikaji semula secara terbuka agar sesebuah akta itu menjadi matang dan adil serta dimansuh jika perlu.
Kesimpulannya, pelbagai kejadian pencabulan media telah berlaku dalam negara selama ini. Dari kes pelucutan jawatan editor Special Weekly Joseph Seow kerana kandungan kartun dalam majalah yang menyindir Perdana Menteri Najib Razak sebagai ‘Mr.U-Turn’ sehinggalah kepada kes pengacara stesen radio 98.8 Jamaluddin yang dilucutkan jawatan telah menunjukkan bahawa pihak pemerintah begitu mengawal dan menekan media dan turut membayangkan kebebasan media yang semakin sempit dalam negara.