Isu kedua Berita Kampus jilid ke 40 yang akan diedarkan esok, Isnin 10 Ogos semakin meningkat dari segi kualiti persembahannya - aturletak, gambar dan designnya dan juga isi kandungan berita. Editorialnya juga tidak kurang menarik dan mengajak pembaca mendamba beberapa isu semasa yang hangat diperkatakan dewasa ini.
Cuma yang kurang ialah dari segi ketiadaan bahan rencana baik dari pihak pelajar mahupun penyumbang luar. Bagaimanapun kekurangan ini ditampung dengan sebuah ulasan buku yang agak ringkas oleh Edmund Ngo. Harapan saya Edmund lebih berani dan pergi lebih jauh dalam mengemukan saranan dan kritikan selain ulasan.
Dua isu lain yang ingin saya ulas dalam posting ini ialah mengenai masalah keselamatan dan kesihatan. Dalam isu BK kali ini termuat 2 berita mengenai soal keselamatan (harta benda) dan 2 isu mengenai kesihatan (Pusat Sejahtera, USM).
Yang pertama mengenai seorang pelajar kerugian hampir RM5000 apabila biliknya dimasuki pencuri di Desasiswa Tekun. Akibatnya mangsa telah kehilangan komputer riba, telefon bimbit dan external hard-disk. Bagaimanapun nasib menyebelahinya apabila komputer ribanya dijumpai semula. Semua ini gara-gara terlupa kunci pintu bilik semasa dia ke tandas.
Dalam isu yang berkaitan, Jabatan Keselamatan akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) diluar semua dewan kuliah bagi memantau setiap pergerakan keluar masuk barangan dalam dewan kuliah. Pemasangan CCTV ini bertujuan mengawasi sekiranya berlaku kecurian barang dalam dewan kuliah.
Isu kedua (kesihatan) ialah mengenai Pengarah Pusat Sejahtera, Dr Nurulain Abdullah Bayanuddin memohon maaf diatas tindakan seorang kakitangannya yang bertindak tidak profesional kerana menafikan perkhidmatan kepada seorang pelajar yang datang ke Pusat Sejahtera akibat disengat lebah. Sebaliknya kakitangan tersebut mengarahkannya pergi ke klinik di luar kampus. Kejadian itu berlaku sekitar jam 1.30 pagi pada 29 Julai lalu. Bermula 29 Julai 2009 Pusat Sejahtera beroperasi 24 Jam untuk memberi rawatan kepada warga kampus yang demam sebagai langkah berjaga-jaga kerana kes penularan virus Influenza A H1N1. Bagaimanapun Dr Nurulain berkata tidak sepatutnya kakitangan tersebut menolak memberi perkhidmatan kepada pelajar tersebut walaupun ia bukan kes demam.
Dalam isu berkaitan, seorang pelajar kecewa dengan perkhidmatan yang diberikan Klinik Pergigian di Pusat Sejahtera, USM gara-gara kakitangannya tidak menjalankan tugas mereka dengan berhemah. Pelajar tersebut yang menamakan dirinya 'Pelajar kecewa' menyatakan sepanjang tempoh rawatan, mereka berbual sehingga peralatan digunakan itu terkena bibirnya. Akibatnya bibirnya bengkak. Dia juga menyatakan terpaksa menahan kesakitan akibat cara kerja mereka sambil lewa. Lebih mengecewakan katanya, mereka tidak meminta maaf atas kejadian itu dan menyalahkan dirinya kerana membuka mulut terlalu besar.
Dua isu berkaitan, keselamatan (harta benda) dan (perkhidmatan) kesihatan sememangnya isu yang lapuk, baik dalam BK mahupun dalam Buletin Notes, yang merupakan dua medium utama yang (agak) bebas ketika ini, namun ia tetap menjadi topik yang hangat dilapor dan diperkatakan saban tahun. Ia menampakkan seolah-olah perkara ini tiada kesudahan atau jalan penyelesaiannya, baik ketika USM dalam era yang lama mahupun dalam era APEX sekarang.
Ini juga memberi satu gambaran bahawa slogan 'sejahtera' dan 'kelestarian' yang dilaungkan oleh USM masih belum mencapai objektif atau matlamatnya untuk menjulang cita-cita universiti ini sebagai institusi terulung negara.
Bagaimana mahu jadi 'sejahtera' jikalau setiap pergerakan warganya perlu dipantau dengan CCTV kerana takut peralatannya dicuri. Dan bagaimana mahu jadi 'lestari' andaikata setiap kali staf atau pelajarnya hendak ke tandas perlu dikunci bilik mereka.
Bagaimana mahu jadi 'sejahtera' andaikata pelajar yang disengat seekor lebah disuruh dapatkan rawatan diluar kampus sahaja. Mungkin jika dilaporkan disengat sepuluh ekor lebah akan lebih wajar diberi perkhidmatan. Juga dengan kes 'pelajar kecewa' yang merungut bibirnya bengkak akibat tertonyoh peralatan pergigian disebabkan dia membuka mulutnya terlalu besar.
Bukankah menjadi tanggungjawab kakitangan berkenaan untuk menyuruh pelajar berkenaan menutup sedikit mulutnya, andaikata ia dibuka 'terlalu besar' sehingga menyukarkannya melakukan pekerjaannya? Tidakkah ia lebih 'lestari' jika kakitangan tersebut tidak memarahi pelajar tersebut, selain bersabar dan meminta maaf di atas kejadian tersebut?
Sememangnya tulisan ini seolah-olah marah dengan kejadian-kejadian yang berlaku sebagaimana isu yang dilaporkan dalam BK kali. Namun demikian, itulah tanggungjawab BK, melaporkan apa-apa yang wajar dan mempunyai nilai berita, baik dari pihak pentadbiran, akademik, staf mahupun pelajar - sesuai dengan motonya "SUARA DARI MENARA ILMU".
Dalam kita mengejar cita-cita peribadi dan dalam usaha kita menjadikan universiti ini sebuah universiti terulung, terlalu banyak halangan dan cabaran yang perlu kita tempuhi. Andaikata ada perkara yang kita rasa boleh dilaporkan mahupun diperkatakan demi untuk kebaikan dan kesejahteraan kita bersama, maka lakukanlah sebaik mungkin. Cuma terserah kepada budi bicara kita bagaimana hal tersebut hendak kita 'lapor' atau 'kata'kannya.
Juga kepada orang yang ditegur sama ada dapat menerima kritikan tersebut dengan hati terbuka dan men'tranformasi'kan (satu lagi slogan USM) unsur-unsur tersebut dari negatif menjadi positif ataupun menyimpan rasa marah dan dendam dengan menunggu peluang untuk bertindak balas (agar 'rasa puas' nafsu amarah itu dapat dikecapi), maka terserahlah.
Rosmah’s acquittal: Concrete timeline for AGC-PP Separation needed
-
JOINT STATEMENT Rosmah’s acquittal: Concrete timeline for AGC-PP Separation
needed We the undersigned organisations urge PM Datuk Seri Anwar Ibrahim to
ann...
2 days ago
No comments:
Post a Comment