Wednesday, June 17, 2009

APAKAH YANG MEMOTIVASIKAN ANDA?

Peribahasa Melayu 'lain padang lain belalang' berkemungkinan tepat bila dikaitkan dengan perkara atau faktor yang boleh memotivasikan diri kita. Lain orang lain caranya dan lain orang lain ubatnya. Begitulah pepatah yang digunakan ketika ini bagi memberi perumpamaan betapa susahnya kita hendak mengenali sikap atau kehendak seseorang dalam mencari perkara yang boleh memotivasikan dirinya.

Kalau hendak suruh seseorang itu pergi dengar ceramah motivasi mungkin senang sikit. Beri markah CPD, hadirlah dia. Disuruh buat laporan, hanya kalau terpaksa. Jadi disitu letak perbezaannya antara orang yang boleh datang hadirkan dirinya untuk mendengar ceramah motivasi dengan orang yang tinggi motivasi diri.

Mungkin Tuan Hj. Zainal ingin berbeda berpendapat dengan mengatakan kalau dia sudah boleh datang untuk dengar ceramah motivasi, maka itu sudah cukup baik. Memang baik, sekurang-kurangnya dia bermotivasi untuk datang mendengar ceramah motivasi, tetapi kita perlu tahu apakah motivasi asalnya - hendakkan mata CPD, berkeinginan untuk dimotivasikan atau terpaksa datang?

Marie G. McIntyre, Ph.D menyenaraikan 6 jenis profail motivasi yang memberi faktor kepada seseorang sebagai pemberi semangat melakukan kerja.

1.(Achievement) Pencapaian atau kejayaan dalam kerjaya: Orang sebegini menyukai kerja-kerja yang mencabar kebolehan dan minda mereka. Mereka memiliki matlamat hidup yang jelas dan menyukai kerja-kerja berbentuk 'project base' dimana kerja-kerja ini mempunyai objektif dan misi tugas yang jelas dan putaran kerjanya sentiasa ada, bertali arus. Apabila tugas mereka dapat diselesaikan dengan baik, mereka mahu dikenali dan diiktiraf dan mahukan pihak pengurusan menghargai jasa mereka dengan memberi tugasan yang lebih mencabar. Peluang kenaikan pangkat dan kemajuan diri adalah penting bagi orang-orang sebegini.

2.(Interaction) Suka berinteraksi: Orang sebegini suka bergaul dan berinteraksi dengan sesiapa sahaja dan itulah motivasinya. Mereka menyukai kerja-kerja yang membolehkan mereka beramah mesra dan bersuka-suka dengan rakan-rakan serta belajar tentang cara hidup orang lain sehingga mereka menyambung persahabatan yang diperolehi ditempat kerja untuk dibawa ke dalam kehidupan mereka dirumah. Mereka juga mahukan pihak pengurusan terlibat dengan hubungan kekeluargaan mereka dirumah.

3.(Creativity) Kreativiti: Orang sebegini menghargai kerja pelbagai atau kerja yang boleh memberi peluang kepada mereka mencipta atau berinovasi. Mereka cepat jemu dengan dengan kerja-kerja yang berulang dan sentiasa mencari idea baru untuk memudahkan kerja mereka. Mereka suka dengan sesi brainstorming dan kerapnya mereka jugalah yang mahukan projek-projek baru disegerakan sementara meninggalkan aspek operasi atau urusan implementasi kerja tersebut kepada orang lain. Pengurusan yang bersikap terbuka sahaja yang dapat memahami, menghargai dan menilai kerja mereka. Motivasi kerja mereka agak unik sedikit.

4.(Leadership)Kepemimpinan: Mereka yang memiliki sifat ini sukakan kerja yang membolehkan mereka menjadi ketua apa-apa projek, walaupun spesifikasi tugas mereka tidak sebegitu. Mereka suka membuat keputusan dan mengarah orang lain membuat kerja sebab mereka merasakan menjadi pemimpin kepada sesuatu projek itu menjadikan mereka penting. Jika tugas itu melibatkan interaksi dengan pihak pengurusan maka mereka dululah yang kedepan dan merasakan mereka layak menjadi ketua. Peluang kenaikan pangkat adalah motivasi utama mereka dan jika pangkat itu datang sekali dengan title, gaji yang besar serta kuasa membuat keputusan itu adalah lebih baik. Kuasa yang ada ditangan dirasakan sangat nikmat dan jika ditarik balik kuasa ini, hilanglah motivasi tersebut.

5.(Service) Suka membantu: Ada juga orang yang boleh dimotivasikan semata-mata kerana sikap ikhlas atau suka membantu. Bagi mereka, kerja bukannya satu tugas yang diwajibkan tetapi satu khidmat kepada kemanusiaan, satu misi untuk menjadikan dunia ini satu kehidupan yang lebih baik untuk semua orang. Merka mahukan merasakan bahawa hasil kerja mereka mendapat impak yang positif kepada orang lain dan itulah motivasi mereka. Mereka ini biasanya berminat dengan kerja-kerja yang melibatkan kerja sosial dan sukarelawan.

6.(Problem Solving) Penyelesai masalah: Jika mereka dapat menyelesaikan masalah yang rumit dan mencabar atau menolong orang meleraikan masalah yang menyimpul dan berbelit-belit, itulah motivasi mereka. Mereka cepat bosan dengan kerja-kerja harian yang mudah dan jika ini saja tugas yang diberi, maka mereka akan mencari jalan keluar mendapatkan stimulasi mental dengan membuat kerja-kerja lain yang memuaskan hati mereka. Apabila mereka dilihat dan diiktiraf sebagai seorang yang pakar dalam sesuatu bidang, maka penilaian itu adalah cukup sebagai memotivasikan diri mereka. Mereka suka bekerja dengan pihak pengurusan yang faham dengan kebolehan mereka menyelesaikan masalah.

Pakar-pakar motivasi lain juga mempunyai senarai profail yang lebih banyak dan berbeda daripada apa yang disenaraikan diatas, bergantung kepada pendapat dan pandangan profesional masing-masing. Antara faktor atau profail yang dirasakan tidak ada dalam senarai diatas ialah kebebasan (independence), pengiktirafan (recognition), tekanan (pressure), wang (money), rasa harga diri (self esteem), selamat (security), perkembangan diri (personal growth) dan juga masa senggang (leisure time). Ini semua adalah faktor motivasi yang mungkin ada pada sesetengah dari kita dan mungkin tidak. Apapun jika kita dapat memahami dan menyelami faktor kelemahan dan kekuatan kita, dapatlah kita gunakannya untuk membaiki mana yang lemah disamping mempergunakan faktor yang kuat itu untuk lebih memotivasikan diri kita.

Alhamdulillah, saya telah dapat memotivasikan diri saya menyiapkan artikel ini sejak pukul 3.00 petang tadi. Kalau ada apa-apa yang kurang harap maaf. Kalau nak tambah silakan (sebenarnya inilah motivasi saya).

Izaham

No comments: