Thursday, June 11, 2009

Jemputan Perbincangan mengenai BERITA KAMPUS

Ini adalah weblog rasmi "BERITA KAMPUS", sebuah penerbitan pelajar Kewartawanan, Pusat Pengajian Komunikasi USM. Jika anda masih baru dengan USM dan tidak biasa dengan kewujudan akhbar ini, berikut adalah kenyataan penafiannya: Berita Kampus adalah sebuah akhbar makmal penuntut tahun akhir pengkhususan Kewartawanan, Universiti Sains Malaysia. Ia bukan pendirian dan pandangan rasmi USM.

Dalam kata lain, Berita Kampus adalah sebuah akhbar dwi-bahasa, diterbitkan 2 kali sebulan, 6 kali setiap semester. Akhbar dalaman ini diterbitkan oleh pelajar Kewartawanan dengan bantuan Pusat Pengajian Komunikasi, USM. Penerbitan akhbar saiz tabloid ini adalah satu landasan untuk melatih pelajar tahun akhir jurusan Kewartawanan dan juga pelajar tahun akhir Komunikasi Pemujukan dalam bidang kemahiran dan major masing-masing.

Blog ini mengalu-alukan pendapat, pandangan, komen atau kritikan dalam dwi-bahasa (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris). Semua pandangan tidak akan ditapis. Namun demikian, kami akan mengeluarkan pendapat yang keterlaluan atau menyunting teguran yang tidak sopan. Oleh itu, beri pandangan dan idea bernas anda dalam bentuk tulisan dan lenggok bahasa yang sopan dan yang mencerminkan budaya USM.

Bidang tumpuan penyelidikan Pusat Pengajian Komunikasi, USM ialah di dalam komunikasi persekitaran. Ini bermakna kami mengamal dan menggalakkan kelestarian persekitaran daripada apa jenis pencemaran. Kami menganggap pandangan yang tidak berkualiti sebagai pencemaran bahasa, salah satu daripada pencemaran komunikasi. Oleh itu, anda boleh membantu menyelamatkan persekitaran ruang siber ini dengan memberi pandangan dan idea yang bermutu, sayugia mencerminkan status USM sebagai universiti APEX.

Pandangan yang tidak bernama (anonymous) tidak digalakkan, tetapi ia bergantung kepada betapa baik dan seriusnya pandangan tersebut. Jika anda mempunyai pandangan yang baik tetapi masih mahu melontarkan pendapat tanpa mendedahkan identiti anda, gunakan nama samaran supaya orang lain boleh mudah merujuk kembali kepada pendapat itu.

Bagaimanapun, jika anda rasa idea dan pandangan anda sangat baik dan ia perlu diterbitkan, sila catatkan nama penuh dan nombor yang boleh kami hubungi. Pendapat dan pandangan yang bernas perlu dikongsi dalam media yang bersesuaian supaya ia boleh dijadikan tauladan.

Anda boleh mendapatkan isu-isu lama BERITA KAMPUS (jika masih ada) daripada saya di Pusat Pengajian Komunikasi USM, Bangunan C10, tel. no. 04-6534960. Sambungan di dalam USM ialah 4960.


Terima kasih
Izaham Musa
Pegawai Penerbitan BERITA KAMPUS

No comments: