Tuesday, June 30, 2009

Tanda aras 3.0 cabaran kepada pelajar baru PPK

Dekan Pusat Pengajian Komunkasi (PPK), Prof Madya Adnan Hussein mengharapkan supaya pelajar perintis universiti APEX di pusat pengajian ini menjadi model contoh kepada universiti dengan menetapkan tanda aras CGPA 3.0 sebagai cabaran asas untuk mereka perolehi dalam keputusan pengajian mereka sepanjang berada di USM.

"This is the type of students we want in an APEX university (inilah jenis pelajar yang kita mahu dalam universiti APEX ini). Malah kalau boleh kita mahukan lebih ramai lagi pelajar mencapai tahap Anugerah Dekan, iaitu CGPA 3.5 dan ke atas," ujarnya penuh semangat.

Dalam ucapan aluannya kepada 120 orang pelajar di Dewan Kuliah U pagi ini, Dekan PPK telah menyatakan keyakinan dan kepercayaannya bahawa kumpulan pelajar ini adalah gabungan calon terbaik pelajar komunikasi yang telah dipilih. Ini, ujar beliau adalah berdasarkan banyak kriteria, termasuk keputusan ujian MUNSYI USM dan juga ketrampilan mereka dalam sessi temuduga.

"Daripada 600 calon yang layak pohon setelah lulus ujian MUNSYI, PPK cuma memanggil 250 orang calon. Dan daripada itu pula, 170 calon yang datang, dan setelah disaring kami hanya memilih 120 orang sahaja. Dan kami mengharapkan 120 orang pelajar ini adalah gabungan terbaik yang dipilih untuk mengikuti pengajian di sini," ujarnya meyakinkan.

Dekan PPK juga mengharapkan agar kumpulan pelajar baru ini melibatkan diri mereka dalam semua aktiviti dan agenda pusat pengajian dan universiti selain agenda komunikasi negara.

"Agenda komunikasi universiti adalah selari dengan agenda universiti, iaitu agenda APEX. Agenda APEX bermaksud transformasi pengajian tinggi ke arah kelestarian untuk hari esok," ujar beliau.

Menyentuh mengenai agenda Millenium Development Goals (MDG) yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN), iaitu kesepakatan 192 negara dalam UN untuk menghapuskan kemiskinan tegar dan kebuluran menjelang 2015 beliau berkata, "Pelajar juga mesti melibatkan diri mereka dalam agenda MDG ini atau sekurang-kurangnya prihatin mengenai permasalahan kemiskinan dan kebuluran yang menimpa negara-negara termiskin dunia," katanya.

Diakhir ucapannya Dekan mengingatkan pelajar agar menerima cabaran untuk berdikari semasa di universiti selain menjaga hubungan baik dengan pensyarah, staf dan juga sesama pelajar.

"Sebagai universiti contoh, saya mahu pelajar mengambil tindakan proaktif untuk memberi layanan sama rata kepada rakan-rakan mereka sebagaimana universiti ini memberikan layanan tersebut kepada mereka dengan tidak membezakan diri mereka melalui warna kulit, bahasa dan sebagainya. So, get cracking and adapt yourself to the university's surrounding," katanya lagi.

Turut serta mendengar ucapan beliau ialah 40 orang pensyarah dan staf sokongan pusat pengajian di mana di akhir sessi perjumpaan itu Dekan telah memperkenalkan semua pensyarah dan staf kepada pelajar.

Izaham

No comments: